Wednesday, 8 June 2011

Saat itu, Tika ini

Salam,

Suatu ketika dulu, saat ini, aku mungkin sedang menuntut di salah sebuah menara gading. Tidak dapat aku pastikan bahawa saat itu, terfikir olehku bahawa kini aku telah sebegini. Saat itu, aku hanya mengikut arus agar aku tidak kecundang di pertengahan pelayaran pembelajaran. Aku kira, aku bukanlah pelajar cemerlang, malah bukan juga seorang pelajar yang rajin. Tapi bagi aku, kalau sekadar nak lulus memang aku mampu melakukan. Ya, akhirnya aku berjaya. Berjaya dalam erti kata, lulus dan melayakkan aku mendapat ijazah.


Saat ini aku telah sebegini. Bukan juga rajin, bukan juga cemerlang. Banggakah dengan apa yang aku miliki hari ini. Tidak dapat dipastikan juga. Kalau dibandingkan dengan sesetengah orang, rasanya aku jauh ketinggalan. Pada masa yang sama, kalau dibandingkan dengan sesetengah orang yang lain, aku boleh dikira berjaya. Ya, aku patut bersyukur dengan apa yang aku miliki.Sekurang-kurangnya aku mempunyai kerjaya, rumah sendiri, kereta sendiri, tanah sendiri, saving sendiri. Walaupun apa yang aku miliki, bukan yang luar biasa, cuma yang biasa-biasa tapi aku tetap ada. Bahagia? Bukan ukuran kerana bahagia bukan harta.

Lagipun mampukah kita bahagia kalau ada insan lain yang menderita. Tapi pastikah kita yang kekurangan itu derita. Mungkin mereka bahagia. Bahagia dengan cara mereka sendiri. Yang mana hakikatnya kita yang terseksa jiwa, miliki segala namun hidup tanpa ceria.

Kata para motivator, bahagia dan derita itu kita yang tentukan. Kalau kita mahu hari ini, tika ini bahagia, maka bahagia lah kita. Tapi kalau kita membentuk mood hari ini, saat ini derita, maka derita lah hati kita. Pada aku, bahagia dan derita adalah lumrah.Terimalah hakikat percaturan hidup yang bukan hak kita, bukan milik kita. Kita hanya merancang Allah yang menentukan.

Bercerita tentang bahagia, teringat seorang teman pernah berkata kepada saya, "Awak carilah bahagia itu". Erm, masih terngiang-ngiang kata-kata itu. Aku harap, semoga DIA juga bahagia kerana aku bahagia jika Dia Bahagia.

Nur Pelangi